Sarawak rekod trend penurunan dalam kes kehamilan remaja

Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 29 Jan: Kes kehamilan di kalangan remaja di Sarawak menunjukkan trend penurunan jumlah peratusan sejak tahun 2014.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, penurunan peratusan ini susulan beberapa langkah holistik yang diambil  oleh kementeriannya melalui Majlis Pembangunan Sosial.


“Berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, tren kehamilan remaja di Sarawak menunjukkan penurunan bilangan kes sebanyak 38.3 pertus (1302 kes) antara tahun 2014 (3,401 kes) dan 2020 (2,099 kes).

“Peratusan kehamilan remaja daripada jumlah kes baharu antenatal juga menunjukkan tren penurunan sebanyak 2.2 peratus antara 2014 (8.4 peratus) dan 2020 (6.2 peratus),” katanya pada sidang media One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara tahun 2014 hingga 2020, tiga bahagian di dapati merekodkan jumlah kes kehamilan kalangan remaja tertinggi iaitu Kuching dengan 3,599 kes, Sibu (2,387 kes) dan Miri (2,537 kes).

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh tersebut Bahagian Kapit, Sri Aman dan Sarikei didapati kerap mencatatkan peratusan kehamilan remaja tertinggi berbanding tiga bahagian tersebut.

“Bahagian yang menunjukkan penurunan yang tertinggi dalam tempoh 2014 hingga 2020 adalah bahagian Samarahan (57.2 peratus), Betong (55.6 peratus) dan Mukah (53 peratus),” katanya.

Fatimah berkata, isu kehamilan kalangan remaja di negeri ini agak membimbangkan walaupun terdapat trend penurunan dari segi peratusan kes yang di laporkan.

Ini kerana ujarnya, sejumlah 34.5 peratus atau 725 kes kehamilan remaja yang dilaporkan pada tahun lalu adalah melibatkan remaja yang masih dalam usia persekolahan iaitu antara 10 hingga 17 tahun.

“Walaupun jumlah ini kecil daripada jumlah kes yang direkodkan bagi remaja lingkungan umur 18 hingga 19 tahun (1,734 kes), situasi ini agak membimbangkan kerana ia secara tidak langsung mengakibat remaja ini keciciran dari segi pendidikan dan pelajaran sekaligus memberi kesan kepada masa depan remaja terbabit.

“Remaja pada usia ini juga masih belum matang dan bersedia sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada bayi yang dikandungnya apabila ia lahir kelak,” katanya.

Tambah Fatimah, antara faktor yang menyumbang kepada kes kehamilan remaja di Sarawak adalah pergaulan bebas, pengetahuan seks yang rendah, pengaruh isu dadah dan substance, masalah keluarga, jenayah seksual, kawalan yang longgar daripada ibu bapa, keinginan untuk hidup mewah, pendedahan awal kepada kandungan media sosial, keciciran pelajaran, dan kurangnya pendidikan agama serta nilai moral.

Ujarnya, tindakan yang lebih holistik perlu diambil dengan mensasarkan kepada pemerkasaan institusi kekeluargaan dan memberikan kesedaran kepada komuniti serta masyarakat mengenai isu kehamilan kalangan remaja ini.

“Sebagai salah satu langkah jangka masa panjang, kementerian akan melakukan tindakan yang holistik dan bersepadu kerana isu kehamilan remaja merupakan satu isu yang rumit dan kompleks melibatkan isu keagamaan, pendidikan, nilai, budaya, stigmatisasi serta sistem sokongan sosial,” katanya. — DayakDaily