Sarawak mencatat 11 kes jangkitan virus Japanese Encephalitis tahun lepas

Dr Rose Nani (dua dari kanan) dan Dr Ooi (kanan) ketika sesi dialog bersama media bertajuk "Satu Gigitan Kecil Boleh Membawa Maut".

KUCHING, Jan 7: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan Sarawak mencatatkan keseluruhan sebanyak 11 kes jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE), tertinggi berbanding negeri lain sepanjang tahun lepas.

Ketua Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Rose Nani Mudin mendedahkan statistik tersebut dengan Sabah di tempat kedua dengan 10 kes, diikuti Perak dan Kedah masing-masing empat kes, Negeri Sembilan (3 kes), Terengganu (2 kes), dan Pahang dan Kelantan masing-masing satu kes.

“Salah satu kes di Sarawak tahun lepas melibatkan kanak-kanak manakala kes selebihnya ialah pesakit dewasa atau mereka yang berumur 15 tahun ke atas serta majoriti kes terbabit dari kawasan luar bandar,” katanya ketika sesi dialog bersama media bertajuk “Satu Gigitan Kecil Boleh Membawa Maut” bersama Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Hospital Umum Sarawak, Dr Ooi Mong How, di sini, hari ini.


Dr Rose Nani berkata statistik KKM juga menunjukkan sebanyak empat kes kematian telah dilaporkan dari keseluruhan 36 kes jangkitan JE di negara tahun lepas, namun beliau tiada pasti ada kes kematian itu adalah dari Sarawak.

Katanya Sarawak juga mewajibkan pengambilan vaksin JE sejak 2001 di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dan walaupun jumlah kes jangkitan virus JE di Sarawak adalah kecil berbanding denggi, pihaknya tetap mahu orang ramai terus mengambil serius terhadap jangkitan JE.

Beliau menjelaskan ini berikutan kadar kematian mereka yang dijangkiti JE mencecah 30 peratus dan 30 peratus mereka yang terselamat pula akan mengalami kekurangan upaya neurologi kekal sepanjang hayat seperti tidak boleh bercakap atau berjalan.

“Tetapi ada orang ramai berpendapat bahawa mereka tidak perlu mengambil vaksin ini kerana kita (di Sarawak) tidak mempunyai kes ini lagi. Itu adalah persepsi yang salah. Penyakit ini masih ada di sekeliling kita dan masih ada risiko tinggi dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata sesiapa sahaja di negeri ini boleh dijangkiti virus JE tanpa mengira kanak-kanak, dewasa atau samada menetap di luar bandar atau bandar sekiranya digigit nyamuk Culex yang memindahkan virus itu dari babi atau burung liar kepada manusia.

“Sebab itulah sangat sukar bagi kita untuk menghentikan jangkitan, kerana kita tidak boleh membunuh semua babi dan burung liar yang membawa virus JE,” katanya dan sehubungan itu menasihatkan orang ramai di Sarawak mendapatkan vaksin JE dari klinik atau hospital terutama bagi anak kecil mereka. — DayakDaily