Kementerian Kesihatan pantau kes JE di Sarawak

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Julai 3: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa situasi kes Japanese Encephalitis (JE) di Sarawak dipantau dengan rapi di peringkat kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

JE adalah disebabkan oleh virus flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’ dan merupakan sejenis penyakit bawaan vektor iaitu nyamuk.

JE juga adalah endemik atau penyakit yang sentiasa terdapat di kawasan tertentu di kesemua negara di Asia termasuk Malaysia.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh Januari sehingga 23 Jun tahun ini, sejumlah lima kes JE dilaporkan di Sarawak.

Bagaimanapun katanya, kesemua kes yang dilaporkan itu adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan di Sarawak.

“Bahagian yang terlibat adalah masing-masing satu kes di Samarahan, Lawas, Julau, Miri dan Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, program imunisasi JE telah diperkenalkan pada tahun 2002 di Sarawak susulan kejadian kes JE di Sarawak yang tinggi, iaitu 55 kes pada tahun 1999 dengan kadar insiden 2.61 per 100,000 populasi.

Katanya, dua tahun selepas program imunisasi dilaksanakan di negeri tersebut, iaitu pada tahun 2004, jumlah kes JE dilaporkan berkurang kepada 22 kes dan selepas 16 tahun program ini dijalankan, jumlah kes JE terus berkurang kepada 10 kes pada tahun 2017.

“Manakala, nenurut kajian yang dilakukan semenjak program imunisasi JE di Sarawak, kadar insiden JE bagi kumpulan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di Sarawak berkurang daripada 9.8 kes per 100,000 populasi kepada 4.3 kes per 100,000 populasi.

“Ini jelas menunjukkan kejayaan pelaksanaan program ini di Sarawak. Justeru itu, KKM menyarankan agar setiap ibu bapa di Sarawak memastikan agar anak-anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi JE pada umur 9 bulan dan 21 bulan seperti yang ditetapkan dalam jadual imunisasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, masyarakat setempat dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda dan gejala JE seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan.

“Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota juga dapat mengurangkan risiko digigit nyamuk dan seterusnya jangkitan JE,” katanya. — DayakDaily