Sarawak masih ‘bebas’ dari ancaman militan

Azman (kanan) menerima tabik hormat daripada salah seorang pelatih PGA.

KUCHING, Okt 4: Sarawak masih ‘bebas’ dari sebarang ancaman militan kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof hari ini.

Menurut beliau, ia adalah berdasarkan risikan polis yang dilakukan pihak Cawangan Khas dari masa ke semasa khususnya melibatkan kawasan di sekitar kawasan sempadan negeri ini.

“Buat masa ini, saya mengesahkan tiada sebarang aktiviti militan dikesan di Sarawak.


“Ini kerana, berdasarkan risikan dibuat, tiada maklumat diterima mengenai sebarang kemasukan anasir militan ke negeri ini,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan Polis Kuching hari ini.

Seramai 168 pegawai rendah polis dari Briged Sabah dan Sarawak telah mengambil kursus asas tersebut secara intensif selama tiga bulan sejak Julai 9 lepas.

Dalam pada itu, Azman memberitahu, pihaknya juga sudah membuat kajian melibatkan keselamatan melibatkan kawasan sempadan darat, namun keselamatan air terus diperkasakan secara komprehensif.

“Kita tidak boleh bertindak menanti sebarang ancaman atau anasir militan datang, tetapi kita perlu merancang strategi bagi menangani perkara itu,” katanya. — DayakDaily