Sarawak tenang, kata Pesuruhjaya Polis Datuk Azman Yusof

Abang Johari (kanan) menerima kunjungan hormat Azman di pejabatnya di Komplek DUN hari ini (Nov 13, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 13: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Azman Yusof menganggap Sarawak tidak menghadapi sebarang masalah besar.

Ketika ditemui pemberita pada kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Azman berkata keadaan di dalam negeri sangat harmoni.

“Sarawak sangat harmoni dan tidak menghadapi sebarang masalah. Cuma cara kitalah, bagaimana kita menyelesaikan masalah yang remeh-temeh.

‘Terserahlah kepada kita dan sekarang keadaan Sarawak sangat tenang. Kalau kita ikuti media sosial, saya fikir cerita Sarawak adalah kecil,” katanya.


Tambah Azman, kerajaan negeri telah memberi kerjasama baik kepada agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Polis.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Azman berkata ia adalah kunjungan perpisahan.

Beliau akan ditukar ke Bukit Aman untuk mengambil alih tugas Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara.

“Saya akan menyerah tugas pada 18 November ini kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu Datuk Ramli Din,”katanya.

Azman memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada bulan September 2018. — DayakDaily