Sarawak mahu menjadikan SDGp sebagai Geopark Kebangsaan, Global

Datu Len Talif Salleh - file pic

KUCHING, 9 April : Sarawak mahu menjadikan Sarawak Delta Geopark (SDGp) sebagai salah satu daripada Geopark Kebangsaan di Malaysia dan seterusnya diangkat sebagai Geopark Global.

Ketika ini kini terdapat tiga Geopark Kebangsaan iatu Geoparl Lembah Kinta di Perak, Geopark Gunung Jerai di Kedah dan Geopark Gunung Kinabalu di Sabah manakala Geopark Langkawi pula diiktraf sebagai satu-satunya Unesco Global Geopark di Malaysia.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata idea pertama mengenai SDGp sebagi sebuah geopark pertama di Sarawak dicadangkan pada 2009 kepada kumpulan pakar Unesco Global Geopark  manakala kerajaan Sarawak meluluskan cadangan terbabit pada November 2019.


Katanya, Geopark tersebut yang berkeluasan 311,246 hektar meliputi kawasan daratan dan air mewakili kesatuan warisan geologi, biologi dan budaya istimewa yang terdapat di Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Kecil Padawan, Daerah Samarahan dan Daerah Kecil Siburan.

“Sarawak Delta Geopark perlu melalui penilaian oleh Jawatankuasa Pelaksana Geopark di peringkat kebangsaan sebelum mendapat status geopark kebangsaan.

“Oleh itu dokumen yang mengandungi maklumat kawasan seperti guna tanah, ciri-ciri geologi, kebudayaan, warisan, konservasi serta justifikasi kenapa kawasan ini dipilih perlu disediakan. Dokumen yang dikenali sebagai dossier ini merupakan asas kepada penilaian itu nanti,”katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sarawak Delta Geopark di Kampung Budaya Sarawak dekat sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini deraf dossier tersebut telah pun disediakan dan berada pada  peringkat penelitian.

Katanya, semua aktiviti termasuk promosi serta pelancaran SDGp akan turut dimuatkan di dalam dossier tersebut bagi menunjukkan kesungguhan sarawak  dalam menjadikan SDGp sebagai Geopark Kebangsaan.

“Kita jangkakan dossier ini dapat dimuktamadkan pada penghujung bulan April nanti dan seterusnya akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada bulan Mei 2021,”katanya.

Len berkata, dengan pengiktirafan SDGp sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya diperingkat global, berupaya memacu pembangunan sosio-ekonomi negeri serta rakyat Sarawak.

Ujar beliau, dengan adanya branding Geopark  ia diharapkan dapat merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan di Sarawak serta meningkatkan reputasi Sarawak dalam memelihara khazanah yang ada di wilayah itu.

Pada masa sama tambah Len, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan sebanyak RM2.045 juta bagi persediaan kepada pengiktirafan SDGp sebagai Geopark Kebangsaan.

“Kita berharap agar Kerajaan Persekutuan turut memberi peruntukan mencukupi kepada Sarawak dalam menyokong usaha kita mendapatkan pengiktirafan Sarawak Delta sebagai geopark pertama di Sarawak dan seterusnya mendapatkan pengiktirafan pada peringkat global,” katanya. — DayakDaily