Sarawak jalin kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Pahang untuk martabatkan industri songket

Juma'ani (tiga dari kanan) ketika mengunjungi Bengkel Tenun Pahang DiRaja, Penjara Penor, di Kuantan, Pahang.

KUCHING, Sept 24: Kerajaan Sarawak menerusi Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Pahang untuk mengembangkan lagi potensi industri songket di negeri ini.

Inisiatif yang digerakkan oleh isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang itu melibatkan usaha memperkasakan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja serta pembangunan prasarana yang dapat menyokong eko-sistem industri tersebut.

Antara agensi yang terlibat dalam usahasama tersebut ialah Yayasan Tenun DiRaja Pahang, kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Penjara Malaysia.


Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak, Datu Dr Sabariah Putit berkata, kerajaan Sarawak memilih Pahang berdasarkan faktor ketelitian hasil produk tenun DiRaja Pahang yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk Sarawak menginovasikan warisan negeri Sarawak khasnya songket.

Menurut beliau, hasil daripada usaha berkenaan ia akan membantu menaikkan ekonomi masyarakat Sarawak khasnya dari golongan B40.

Beliau berkata demikian selepas melawat Bengkel Tenun Pahang DiRaja, Penjara Penor bersama delegasi yang terlibat dalam usaha membangunkan industri songket khasnya keringkam yang diketuai sendiri oleh Juma’ani, pada Isnin.

Lawatan tersebut adalah sebagai merealisasikan persefahaman berasaskan titah Raja Permaisuri Agong sewaktu kunjungan hormat yang diketuai oleh Juma’ani pada Jun lalu di Istana Negara.

Antara tempat yang dilawati ialah Bengkel Tenun Pahang DiRaja, Penjara Penor, Kompleks Budaya Pulau Keladi – Che Minah Sayang, Institut Kemahiran Pusat Pengembangan Tenun DiRaja, Sungai Soi Pahang dan Galeri Tenun Pahang DiRaja Bandar Kuantan.

Juma’ani (depan, memakai baju kurung kuning) mengetuai delegasi ketika mengunjungi Bengkel Tenun Pahang DiRaja, Penjara Penor, di Kuantan, Pahang.

Dr Sabariah menambah, dengan pelbagai program yang telah diadakan dan dirancang sejak 2017 menerusi inisiatif OKSHE, usaha untuk memartabatkan warisan budaya songket dan keringkam Sarawak akan mencapai matlamatnya.

Katanya, ia juga penting bagi mengekalkan kelangsungan warisan tradisi bertenun dalam kalangan anak muda Sarawak.

“Daripada lawatan ini, kita dapat membangun, menghasil dan mengkomersialkan warisan songket Sarawak dan berharap melalui usahasama ini, kita dapat berkongsi pengalaman, proses serta teknik menenun kain songket meskipun teknik dan motif Sarawak dan Pahang adalah berlainan.

“Namun saya melihat kemahiran, kualiti produk serta prasana yang ada di Pahang boleh kita contohi untuk membangun, menghasil dan mengkomersialkan warisan songket Sarawak,” katanya. — DayakDaily