Sarawak hidupkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan

Fatimah menjelaskan peranan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 JULAI: Sarawak menghidupkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan dibawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia perlu kerana membantu mempercepatkan kelulusan permohonan kewarganegaraan kanak-kanak dibawah umur 21 tahun.

Justeru kata Fatimah, pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Dalam Negeri, seterusnya menyerahkan permohonan supaya meneruskan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan.

“Kita telah menerima sokongan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam) agar jawatankuasa khas ini dapat diteruskan,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur di Petra Jaya hari ini.

Terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat berhubung isu kanak-kanak tanpa warganegara.

Menurut Fatimah, jawatankuasa khas itu menguruskan permohonan kewarganegaraan kepada kanak-kanak dibawah umur 21 tahun dan telah diwujudkan pada November 2016 sebelum dibubar pada Ogos 2019.

“Kita mohon supaya jawatankuasa ini diteruskan sebab ia membantu proses permohonan yang dimajukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara(JPN).

“Kes sahih iaitu kes permohonan individu pribumi tanpa sijil lahir akan diberi perakuan dan kemudiannya akan dihantar ke pihak Kementerian Dalam Negeri(KDN),” ujar Fatimah.

Katanya lagi, ia memudahkan kerja-kerja KDN sebab borang permohonan tersebut lengkap dan atas budi bicara KDN,kes dari Sarawak diberi pertimbangan khas.

Jelas Fatimah, pada masa itu(kewujudan jawatankuasa) proses kelulusan mengambil masa 2 tahun dan ia tentu sekali ini memberi berita gembira kepada pemohon.

Untuk rekod tambah beliau, Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan setakat ini telah menguruskan 717 permohonan kewarganegaraan.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Pesuruhjaya Suhakam Dr Madeline Berma dan Pesuruhjaya Kanak_kanak-Kanak(Suhakam) Dato Noor Aziah Mohd Awal.—DayakDaily