Fatimah: 93 permohonan bantuan ihsan kematian KGC diluluskan setakat ini

Fatimah (tiga dari kiri) menyerahkan Kenyalang Gold Card kepada salah seorang wakil penerima. Turut kelihatan Dr Sim (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 JULAI: Sebanyak 93 permohonan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) berjumlah RM3,000 daripada waris pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) telah diluluskan setakat ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sejak diperkenalkan pada tahun lepas sebanyak 180 permohonan telah diterima di seluruh negeri.


“Bantuan ini merupakan salah satu manfaat kepada pemegang KGC dimana jika ada kematian, waris boleh memohon bantuan.

“Ia diberikan kepada pemegang kad bukan pesara kerajaan atau yang tidak menerima bantuan daripada agensi lain,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur hari ini.

Terdahulu Fatimah menyerahkan sejumlah 1,636 KGC kepada Parti Bersatu Rakyat Sarawak(SUPP) yang diterima oleh wakil-wakil parti untuk diedarkan kepada individu-individu yang layak di kawasan masing-masing.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurut Fatimah, daripada jumlah BIK yang telah diluluskan, 14 adalah dari Bahagian Kuching, Serian(14), Betong(20), Bintulu(10), Miri(10) manakala selebihnya di bahagian lain.

BIK diberikan kepada pemegang kad bukan pesara kerajaan seperti nelayan, petani dan golongan B40 pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah sebulan.

Sementara itu, Fatimah memaklumkan bahawa setakat ini sebanyak 158, 242 permohonan KGC telah diterima dari seluruh negeri.

Pemegang KGC menikmati kemudahan diskaun atau yuran percuma untuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan pusat komersial yang menjadi rakan strategik KGC.

Ia merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas  di Sarawak.—DayakDaily.