Sarawak catat jumlah caruman Kasih Suri Keluarga Malaysia tertinggi

Fatimah memberi ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan DUN hari ini (30 Nov 2022). Tangkap skin dari siaran langsung menerusi laman Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).
Advertisement

KUCHING, 30 Nov: Sarawak mencatat rekod tertinggi bagi jumlah pencarum Kasih Suri Keluarga Malaysia, dahulunya dikenali sebagai i-Suri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia hasil sumbangan RM7.64 juta daripada kerajaan Negeri.

Katanya, caruman Kasih Suri Keluarga Malaysia telah memberi manfaat kepada 127,412 wanita dari kumpulan rentan di Negeri ini.

Advertisement

“Pada tahun 2022, kementerian melalui Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (JWKS) masih meneruskan pembiayaan caruman minima RM60 kepada isteri Ketua Isi Rumah (KIR).

“Ia untuk KIR yang berdaftar dalam Pangkalan Data eKasih dan layak untuk program Kasih Suri Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Fatimah, caruman minima RM60 ini melayakkan pencarum untuk menerima insentif penuh RM480 setahun dari kerajaan persekutuan dan lain-lain keistimewaan sebagai pencarum KWSP.

Untuk tahun 2023, katanya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM4.2 juta yang dijangka akan memanfaatkan 70,000 peserta. — DayakDaily

Advertisement