Sarawak bukannya ‘mengemis’ simpati, kata AWAS

Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) logo

SIBU, Jun 30: Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) menyokong penuh usaha kerajaan negeri dalam menuntut hak-hak negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Unit AWAS Sekuau, Mohamad Ali Abdullah berkata, suara rakyat Sarawak dan pemimpin tidak kira dari pemimpin kerajaan dan pembangkang sewajarnya diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan berhubung tuntutan berkenaan.

Katanya, rakyat Sarawak bukannya ‘mengemis’ simpati, namun hanya menuntut hak-hak yang menjadi hak mutlak rakyat di negeri ini.

“Hak-hak menjadi yang telah diambil dan semakin terhakis wajar dikembalikan semula kepada rakyat Sarawak.

“Jadi, pihak berkaitan haruslah menghormati perjuangan tuntutan yang kini sedang dituntut oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Ali menambah, AWAS Sekuau sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memastikan hak serta keistimewaan negeri ini diperjuangkan.

Sementara itu, Ketua Unit AWAS Meradong Ibrahim Abu Seman pula memberitahu, hak-hak negeri ini sepatutnya dikembalikan dengan secara hormat dan tertib seperti mana kesefahaman MA63 dahulu.

Jelasnya, sudah tiba masanya kerajaan persekutuan mengembalikan semula tuntutan daripada kerajaan negeri Sarawak tanpa dipaksa atau terpaksa.

“Paling utama ialah, tuntutan ke atas minyak dan gas perlu diberikan perhatian.

“Apa yang rakyat mahukan ialah kesejahteraan dan kekayaan dinikmati secara bersama,” katanya lagi.

Manakala, Ketua Unit AWAS Kampung Tule, Saribas Radin Mohamad Sapwani menegaskan, kerajaan persekutuan sengaja melengah-lengahkan isu tuntutan hak-hak daripada kerajaan negeri Sarawak. — DayakDaily