KUCHING, 21 Feb: Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki memaklumkan Sarawak akan berkabung selama 2 hari (21 dan 22 Feb) bagi menghormati pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.
Katanya, semua majlis rasmi yang melibatkan acara hiburan hendaklah ditangguhkan.
“Manakala bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Allahyarham Tun Taib, 87, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).
Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan balik ke Kuching (Demak Jaya), hari ini.
Sementara itu menurut sumber, upacara penghormatan terakhir bagi Tun Abdul Taib Mahmud akan diadakan pada esok 22 Feb.
Penghormatan akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Demak pada jam 12 tengahari untuk disembahyangkan.
Pengkembumian akan diadakan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Demak. — DayakDaily