Penghormatan terakhir bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Taib esok

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

KUCHING, 21 Feb: Upacara penghormatan terakhir bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud akan diadakan pada esok 22 Februari.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan berkata, penghormatan akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.

Jenazah kemudiannya akan dibawa Masjid Demak untuk disembahyangkan.


Pengkembumian akan diadakan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Demak.

Allahyarham Tun Taib, 87, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.40 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan balik ke Kuching (Demak Jaya), hari ini.

Sementara itu UKAS memaklumkan Sarawak akan berkabung selama 2 hari (21 dan 22 Februari) bagi menghormati pemergian Tun Taib.

Semua majlis rasmi yang melibatkan acara hiburan hendaklah ditangguhkan.
Manakala bendera hendaklah dinaikan separuh tiang. – DayakDaily