Sarawak antara negeri terpantas dalam program pemberian vaksin, Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (file pic)

KUCHING, 21 Julai: Sarawak antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin menerusi langkah-langkah berkesan yang telah dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa sebanyak 2.2 juta telah menerima dos pertama.

“Langkah-langkah telah dikenakan oleh pihak JPBNS untuk menghambat penularan Covid-19, termasuk langkah untuk mempercepatkan program pemberian vaksin nampaknya telah berjaya menurunkan kes jangkitan harian kebelakangan ini.


“Ini membuktikan bahawa Sarawak, dengan ruang yang ada, mempunyai keupayaan untuk menguruskan apa saja permasalahan yang dihadapi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Perutusan Bersempena Hari Sarawak 2021 yang akan diraikan esok.

Menurut beliau, Sarawak adalah sebuah wilayah yang hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan kadang-kala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat persekutuan.

Terdapat contoh jelas katanya, iaitu modifikasi kepada proses pemberian vaksin yang membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar di dalam aplikasi MySejahtera.

“Ruang yang membolehkan kita membuat keputusan sesuai dengan keperluan Sarawak juga telah membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak.

“Pihak JPBNS dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri, telah menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja dan juga penubuhan pasukan-pasukan begerak untuk menjangkau kepada mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin.

“Pihak tentera juga juga membantu di kawasan-kawasan luar bandar,” ujar Abang Johari.

Beliau menghargai kuasa yang ada pada Sarawak mengikut Perlembagaan untuk membuat keputusan yang disesuaikan dengan keadaan di negeri ini agar ianya lebih praktikal dan berkesan.

Katanya, keupayaan membuat keputusan sendiri untuk kepentingan Sarawak seharusnya mencerminkan jati diri anak Sarawak untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri.

“Ini adalah agar Sarawak mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri atau negara-negara yang sudah berada di hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan telah merancang pembangunan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrakstruktur termasuk infrastruktur Internet.

Dengan dasar berpandangan jauh, beliau yakin pembangunan ekonomi negeri ini mampu sampai ke tahap yang lebih tinggi dan peningkatan kepada pendapatan rakyat dengan produk-produk yang mempunyai nilai tambah. — DayakDaily