This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 23 Ogos: Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung bersempena dengan Sarawak Agrofest (SAF) 2023.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, edisi ketiga itu akan diadakan Dataran Perayaan di Petra Jaya mulai 22 Sept hingga 1 Okt ini.
Katanya, tema āIndustrializing for Sustainable Food Security and Commodities’ adalah selaras dengan fokus Kerajaan Sarawak untuk pembangunan pertanian dan memperkasakan agenda keselamatan makanan.
“Penganjuran kali ini akan memberi tumpuan kepada perdagangan pertanian dengan menyediakan platform untuk usahawan agro, penternak, peladang, pembekal pertanian serta pemain industri untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan.
“Ia juga sebagai platform untuk mempamerkan teknologi digital terkini dalam bidang pertanian khususnya teknologi pintar,” kata Dr Rundi pada sidang media di Kuching hari ini.
SAF 2023 akan dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sebanyak 200 pempamer dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia termasuk syarikat pertanian antarabangsa bakal menyertai SAF 2023.
Tambah Dr Rundi, festival juga menyediakan peluang kepada pemegang taruh sektor pertanian untuk mengembangkan jaringan, mencari rakan dagang seterusnya mempertingkatkan bekalan serta rantaian pertanian.
“SAF 2023 juga akan menjadi acara untuk memperkenal, mempromosi, demonstrasi produk selain Anugerah Peladangan 2023,” ujar Dr Rundi. ā DayakDaily