Sarang dadah di Siniawan diserbu, lima positif dadah ditangkap

Kelima-lima suspek ditangkap di tempat kejadian.

BAU, 10 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menyerbu sebuah pondok diperbuat daripada canvas dipercayai sarang penagih dadah di Jalan Lama Siniawan semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata semasa serbuan dilakukan didapati terdapat lima lelaki berusia 22 hingga 33 tahun dari Kampung Grogo, Peninjau dan Sibuluh.

Jelasnya, kesemua suspek dikatakan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis dalam operasi Op Tapis sekitar jam 4 petang itu.

“Melihat kehadiran polis, kelima-lima suspek telah melarikan diri dan hasil kepantasam anggota serbuan berjaya menahan kelima-lima suspek dan kemudian dibawa ke IPD Bau untuk siasatan,” Katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, hasil saringan ujian air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Siasatan awal mendapati suspek-suspek mengambil bekalan dadah lebih awal sebelum mereka ditangkap di tempat kejadian.

Ekoran itu, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pasukan serbuan turut memusnahkan pondok yang didirikan menggunakan canvas dan dijadikan tempat mereka berehat sambil menjalankan aktiviti pengambilan dadah.

“Tindakan (meroboh) diambil bagi mengelakkan dijadikan kawasan rutin tempat budaya melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya. — DayakDaily