This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 23 Ogos: ‘Saman ekor’ menanti bagi yang gemar memandu melebihi had laju ditetapkan berkuatkuasa dari 21 Ogos (Isnin) lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak akan menjalankan operasi tembak laju bagi mengesan pengguna jalan raya yang memandu kenderaan melebihi had laju.
“Operasi tersebut menggunakan kamera tembak laju (Tru Cam) bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Notis pemberitahuan saman PDRM (K) 170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan boleh dijelaskan di mana-mana Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di setiap daerah.
Menurut Mohd Azman juga, operasi tersebut adalah untuk memberi peringkatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kesalahan memandu melebihi had laju adalah punca utama kemalangan jalan raya di Sarawak dan merupakan penyumbang kepada peningkatan kes kemalangan,” katanya.
Oleh yang demikian pihak PDRM menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang undang dan peraturan lalulintas yang berkuatkuasa.
“Pihak PDRM Sarawak tidak akan berkompromi dengan mereka yang gagal mematuhi undang undang jalanraya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” kata Mohd Azman. — DayakDaily