Abdullah Saidol tidak mahu ada ‘ghost tower’

Abdullah (kanan) mengadakan lawatan kerja ke menara komunikasi di Rumah Wun Iring, Bekakong. Kredit foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 8 April: Agensi yang berkaitan diharap mengambil tindakan dengan segera terhadap isu menara komunikasi yang tidak berfungsi di kawasan Bekakong di Tanjong Manis, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas) Datuk Abdullah Saidol.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), masalah menara komunikasi tidak berfungi mengundang keresahan penduduk di situ berikutan talian telekomunikasi yang agak lemah.

Justeru Abdullah yang juga ADUN Semop berharap agensi terbabit memandang serius isu tersebut sebelum berlaku lebih banyak ‘ghost tower’ di Sarawak.

Advertisement

“Kita tidak mahu ada istilah ‘ghost tower’ berada di banyak tempat di Sarawak.

“Keadaan ini akan meresahkan penduduk kerana sejak akhir-akhir ini talian telefon mereka agak lemah penggunannya,” katanya.

Beliau pada Jumaat lepas mengadakan lawatan kerja ke menara komunikasi di Rumah Wun Iring, Bekakong susulan aduan penduduk di situ.

Katanya, masyarakat terutama di luar bandar sudah memahami dan menghargai peranan digital dan internet dalam pelbagai urusan harian.

Ia termasuk pergunaan telefon mudah alih untuk perhubungan serta mendapatkan pelbagai maklumat dan berita.

Difahamkan menara komunikasi di Bekakong masih tidak berfungsi sejak siap setahun lepas.

Justeru, lebih 1000 penduduk Bekakong berharap pihak bertangungjawab dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat.

Ini kerana mereka terpaksa bergerak keluar daripada kawasan Bekakong untuk mendapatkan talian telefon dan internet iaitu di kawasan Jalan Serdeng – Tanjong Manis. — DayakDaily

Advertisement