Saberkas tidak akan terlibat dalam pilihanraya: Setiausaha Agung

Safiee memukul gong sebagai simbolik perasmian Kelab Saberkas SEGi di Kuching.

KUCHING, FEB 25: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak(Saberkas) tidak akan mengambil bahagian di dalam sebarang proses pilihanraya.

Setiausaha Agung Saberkas, Safiee Ahmad berkata, pertubuhan bukan kerajaan(NGO) itu akan terus fokus mengasah bakat belia di negeri ini.

“Biarlah Saberkas tidak teribat dengan politik, kita hanya fokus kepada para belia.


“Di dalam pertubuhan ini pun kita tidak ambil tahu terhadap idealogi dan latarbelakang politik ahli-ahlinya.

“Halatuju kita jelas, iaitu sebagai pertubuhan yang mengasah bakat para belia di negeri ini dan kekal sebagai NGO,”katanya ketika ditemui pemberita di Kuching hari ini.

Terdahulu beliau telah merasmikan Kelab Saberkas SEGi di Kampus Cawangan SEGi di Simpang Tiga.

Di samping itu, Safiee juga berkata pertubuhan itu sekarang berhajat untuk menubuhkan 10 lagi cawangan untuk menjadikan jumlah keseluruhannya 82.

“Bermakna, satu kawasan dewan undangan negeri ada satu cawangan dan ini memudahkan kita melaksanakan pentadbiran.

“Saberkas menjadi platform kepada para belia diperingkat cawangan dan daerah untuk mengambil bahagian secara aktif di dalam pertubuhan,” katanya.

Menurut Safiee lagi, Saberkas dengan 72 cawangan sekarang memiliki 46,000 ahli.

Kelab Saberkas SEGi disertai 71 ahli yang terdiri daripada para pelajar dan tenaga kerja kolej. —DayakDaily.