RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 tidak berfungsi – MP Bintulu

Dato Sri Tiong King Sing

KUCHING, 3 Ogos: Ahli Parlimen (MP) Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebagai kurang berfungsi.

Beliau mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkeras untuk meminda RUU tersebut selain bertanya bagaimana cara untuk mengurangkan populasi perokok dalam negara.

“Ketika negara dipimpin oleh kerajaan-kerajaan terdahulu, termasuk zaman Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), pelbagai langkah larangan merokok telah dilaksanakan.


“Akhirnya tiada keputusan yang jelas dicapai, sebaliknya mengakibatkan kemarahan dan tentangan kuat daripada rakyat.

“Menteri Kesihatan perlu mengambil pengajaran daripada sejarah, kerajaan dahulu telah dikecam hebat oleh rakyat kerana langkah-langkah larangan merokok.

“Adakah kerajaan kita ingin mengikut jejak kerajaan sebelum ini?” ujar beliau di persidangan Parlimen semalam.

Selain itu tambah Tiong, kandungan pindaan RUU yang tidak cukup bersedia juga turut menimbulkan banyak pertikaian.

Katanya, ini termasuk dengan tiba-tiba mengurangkan kadar denda am untuk inisiatif generasi penamat (GEG) daripada RM5,000 kepada RM500.

Di samping itu, dendaan yang dijatuhkan kepada individu yang lahir selapas tahun 2007, adakah dendaan tersebut ditanggung oleh ibu bapa atau ahli keluarga mereka?

“Ada rakyat di sesetengah kawasan bertanya kepada saya, jika mereka tidak mengetahui anak-anak mereka merokok di sekolah, adakah mereka bertanggungjawab ke atas kesalahan anak-anak tersebut?

“Jika mereka tidak dapat membayar denda, adakah wakil rakyat boleh bantu? Bayar denda untuk mereka?” kata Tiong. — DayakDaily