Rumah Seri Kenangan Kuching baharu dijangka siap September 2018

Abang Shamsudin (depan, kiri) bersalaman dengan peserta kursus Perhubungan Awam (PRO JKMS) di Palm Beach Resort Sematan.

SEMATAN, April 15: Projek pembinaan Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching dijangka siap sepenuhnya September ini, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Abang Shamsudin Abang Seruji.

Menurut beliau, projek tersebut kini sudah siap 98 peratus, dan cuma tinggal kerja-kerja pembinaan fasa terakhir melibatkan struktur dalaman termasuk kerja-kerja pendawaian, pemasangan paip dan sebagainya.

“Saya berharap projek ini akan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.


Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Kursus Penyelaras Perhubungan Awam (PRO) JKMS di Palm Beach Resort Sematan yang disertai 42 orang peserta terdiri daripada kakitangan JKMS dari seluruh negeri, menurut satu kenyataan media.

Menjelas lanjut, Abang Shamsudin berkata apabila siap, RSK Kuching yang baharu akan menempatkan seramai 69 penghuninya yang kini menumpang sementara di Pusat Pemulihan Sarawak di Kota Samarahan.

RSK Kuching yang baharu ini adalah dibangunkan di tapak lamanya di Batu 12, Jalan Kuching-Serian dan dijangka mampu menampung kira-kira 150 orang penghuni. — DayakDaily