Kanak-kanak tahan sakit lebih 30 minit, kaki terperosok dalam besi penutup parit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan kaki kanak-kanak yang terperangkap oleh penutup besi parit.

SRI AMAN, April 15: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit selepas kakinya terperosok ke dalam penutup besi parit di Taman Harmoni di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kaki kanak-kanak lelaki tersebut tiba-tiba terperosok ke dalam penutup besi tersebut ketika sedang berjalan kaki di situ bersama keluarganya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Amie Banseng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.04 petang.


Katanya, sejurus menerima maklumat insiden, lima anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila sampai di lokasi, anggota bomba mendapati kaki kanak-kanak terbabit masih terperosok di dalam penutup besi parit.

“Anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja menyelamat dengan merenggangkan penutup besi parit itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amie menambah, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk merenggangkan besi itu.

“Selepas berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit, dia kemudian diserahkan kepada ibunya tanpa mengalami sebarang kecederaan serius,” ujarnya. — DayakDaily