Fatimah: Projek sakit, Rumah Seri Kenangan Kuching siap Disember 2020

Fatimah (empat dari kiri) meraikan Hari Bapa bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 21: Setelah sekian lama terbengkalai, Projek Rumah Seri Kenangan di Batu 12 Jalan Kuching-Serian dijangka siap pada bulan Disember 2020.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, projek yang bermula pada 2012 itu sepatutnya siap pada 2015.


“Projek telah gagal disiapkan mengikut jadual dan terbengkalai sehingga terpaksa ditender semula.

“Pada lawatan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden minggu lepas bersama JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai agensi pelaksana, kontraktor telah memberi komitmen bahawa ia akan siap pada tahun ini,” katanya.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja beliau ke Rumah Seri Kenangan Kuching (Pusat Pemulihan Samarahan) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata jumlah keseluruhan kos projek tersebut telah meningkat dari RM20 juta kepada RM24.2 juta kesan tender semula.

“Kalau projek dikategorikan sakit, ianya kadang-kadang terpaksa ditender semula dan ini melibatkan peruntukan tambahan yang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan,” ujar beliau.

Beliau menyifatkan keputusan memilih kontraktor yang mengemukan tender paling rendah adalah punca kegagalan projek tersebut di peringkat awal.

Dalam pada itu, Fatimah juga berharap Projek Rumah Seri Kenangan di Sibu dapat siapkan pada tahun ini.

Pada lawatan tersebut, Fatimah turut meluangkan masa meraikan Hari Bapa bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Kuching. — DayakDaily