This Content Is Only For Subscribers
BINTULU, 25 Jun: Dua keluarga hilang tempat berlindung apabila rumah pekerja didiami mereka di sebuah kilang di Pekan Tatau, di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.02 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran melibatkan satu blok rumah pekerja telah terbakar 100 peratus.
“Satu blok rumah tersebut hanya didiami dua buah keluarga sahaja dan jumlah pintu sebenar tidak dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan sumber air terbuka dan kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah pekerja lain.
“Tindakan kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memadamkan bara api sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Anggota kemudian berangkat balik ke balai selepas mendapati keadaan selamat dan tiada lagi punca nyalaan semula.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily