Paras air banjir di Marudi dan Long Lama masih bertahan

Inspektor Erwin (kiri) bersama anggota melakukan rondaan pemantauan banjir di pekan Marudi.

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 1 Feb: Status banjir di pekan Marudi dan Long Lama masih bertahan.

Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Daerah Marudi , Inspektor Erwin Geoffry Ussan, setakat jam 11 pagi tadi, seramai 31 mangsa banjir membabitkan lapan keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Suarah Marudi.


Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras Sungai Baram melimpah dan membanjiri kawasan rendah di daerah tersebut.

Antara kawasn dinaiki air ialah pekan Marudi, Kampung Dagang, Kampung Cina, dan Kampung Padang Kerbau.

Lima sekolah rendah juga turut dinaiki air, antaranya SK Pengelayan, SK Benawa, SK Long Panai, SK Long Ikang dan SK Dato Shariif Hamid.

“Petugas Task Force IPD Marudi dalam keadaan siap sedia dan akan sentiasa melakukan pemantauan di kawasan yang dilaporkan berpotensi dinaiki air,” jelas Erwin.

Tambahnya, cuaca di lokasi pemantauan setakat ini adalah baik dan paras air di beberapa kawasan masih bertahan. ― DayakDaily