Rosey: Semua pendidik dan pengasuh SeDidik miliki diploma pada 2021

Rosey menyampaikan sijil tamat prasekolah kepada salah seorang kanak-kanak.

KUCHING, 16 Dis: SeDidik mensasarkan agar semua pendidik dan pengasuh mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak pada 2021.

Menurut Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, ia penting kerana kanak-kanak merupakan aset yang amat bernilai kepada masyarakat, negeri dan negara.

Justeru katanya, pembangunan dan perkembangan kanak-kanak yang holistik dan seimbang daripada segi jasmani, rohani, emosi dan mental merupakan perkara penting dalam agenda pembangunan kanak-kanak.

“Malah, fasa yang paling penting dalam pembangunan kanak-kanak ialah pada peringkat awal lagi,” katanya pada majlis penyampaian sijil dan hadiah SeDidik Perdana Zon Kuching di sini, hari ini.

Jelas Rosey, pada masa ini, 78 daripada 144 orang pendidik (54.16 peratus) mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak dimana SeDidik kini merangkumi 92 buah tadika dan taska di seluruh negeri.


Dengan hala tuju yang jelas dan komitmen semua pihak, katanya, Sedidik akan menjadi kayu pengukur aras kepada pendidikan awal kanak-kanak bukan sahaja di negeri Sarawak, bahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Rosey menyeru kepada semua pendidik untuk mengambil pendekatan proaktif dan kreatif dalam melaksanakan aktiviti di dalam kelas atau secara dalam talian sekiranya perlu.

“Ini bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dari mendapat pendidikan, ilmu dan kemahiran sebagai persediaan kepada mereka untuk melangkah ke Tahun 1 pada tahun berikutnya.

“Prosedur operasi standard yang ketat perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan anak-anak dan seluruh warga tadika dan taska,” ujar beliau.

Majlis tersebut meraikan 55 orang kanak-kanak dari SeDidik Perdana Zon Kuching yang menerima sijil tamat pendidikan prasekolah. — DayakDaily