RoS tolak permohonan S4S atas alasan membahayakan keselamatan awam

Chan mengemukakan permohonan rayuan kepada pejabat RoS di Kuching hari ini (15 Sept 2020)

KUCHING, 15 Sept: Sarawak For Sarawakians (S4S) gagal mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk didaftar sebagai sebuah entiti politik.

Jurucakap S4S Chan Chee Hiong berkata, permohonan ditolak dengan alasan membahayakan keselamatan awam.

“Pihak berkuasa (RoS) sebenarnya enggan meluluskan permohonan dengan alasan “membahayakan keselamatan awam”.


“Ia mengikut Akta Pertubuhan 1966, berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(a) Akta 335,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Chan, S4S menganggap alasan yang diberikan itu adalah tidak masuk akal.

Dalam pada itu, beliau telah mengemukakan rayuan permohonan kepada RoS hari ini selain meminta permohonan mereka dikaji semula.

“Saya berharap Ros akan lebih telus dalam sistem demokrasi Malaysia dan beroperasi dengan adil,” ujar beliau yang akan bertanding di kerusi Pending di bawah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) pada Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Chan lagi, S4S merupakan gerakan yang pada dasarnya adalah untuk menyatukan semua rakyat Sarawak.

Katanya, S4S menuntut kembali semua sumber dan hak yang dimiliki oleh penduduk Sarawak yang tertakluk dalam perjanjian MA63. — DayakDaily