Covid-19: 23 kes positif baharu dan Kluster Pulau dikenal pasti di Kunak, Sabah

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Sept: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 23 kes baharu positif Covid-19
dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 13 kes tempatan dan 10 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,969 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 632 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, 13 kes tempatan adalah melibatkan 10 warganegara dan tiga bukan warganegara.

Manakala 10 kes import pula melibatkan lima warganegara dan lima bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 128 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak enam kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,209 kes atau 92.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 14 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa satu kluster baharu dikenali sebagai Kluster Pulau telah dikenal pasti di Kunak, Sabah.

Katanya, kes indeks (Kes ke-9940) kluster ini merupakan salah seorang wanita warganegara Malaysia yang berusia 68 tahun.

Beliau ditemui tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak, dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati di mana saringan Covid-19 didapati positif pada 13 Sept 2020.

“Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, lapan lagi kes positif Covid-19 telah dikesan.

“Kesemua lapan kes merupakan ahli keluarga kes indeks. Sehingga 15 Sept 2020, sejumlah 128 individu telah disaring dalam kluster ini yang terdiri daripada 109 warganegara dan 19 bukan warganegara,” katanya. — DayakDaily