Rokok dan minuman keras cecah nilai lebih RM500,000 dirampas di Kuching

Minuman keras yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 1 Mac: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah premis, di sini semalam.

Jurucakap PGA Briged Sarawak berkata operasi ‘Op Libas’ tersebut adalah hasil maklumat dan risikan yang diperolehi, membolehkan serbuan dilakukan sekitar jam 7.45 pagi.

Jelasnya, semasa serbuan dilakukan terdapat lima lelaki tempatan berada di dalam premis dan mengaku hanya pekerja di situ.


“Pemeriksaan lanjut berjaya menjumpai pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang disyaki tidak lulus cukai Kastam iaitu 1,500 kartun rokok yang dianggarkan bernilai RM225,000 dan minuman keras bernilai RM311,199.

“Semua suspek juga didapati gagal mengemukakan dokumen yang sah pemilikan barang-barang tersebut menyebabkan pasukan operasi terpaksa merampasnya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya juga, turut dirampas ialah empat buah kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai RM741,199.

“Kelima-lima suspek berusia 40 hingga 55 tahun juga ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut. — DayakDaily