BINTULU, 19 Jun: Seorang lelaki ditangkap disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai lebih RM70,000 di Jalan Pesisir Bintulu-Kuala Tatau, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata anggotanya telah menahan sebuah van di sekatan jalan raya (SJR) Ops Kontraban pada jam 9 pagi,
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati van tersebut membawa pelbagai jenis minuman keras dan rokok putih.
Hasil pemeriksaan juga mendapati pemandu van yang berasal dari Tatau gagal mengemukan sebarang bukti dokumen berkaitan barang-barang tersebut.
Anggota operasi kemudian bertindak menahan pemandu van dan merampas semua rokok, minuman keras dan van tersebut untuk siasatan lanjut.
Jumlah keseluruhan termasuk van yang dianggarkan bernilai RM50,000 ialah sekitar RM127,257.
Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Bintulu dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. ā DayakDaily