Polis Marin rampas 10,000 liter minyak diesel disyaki cuba diseleweng di Limbang

Pasukan operasi menjalankan siasatan di Jalan Ulu Kubong, Kampung Penganan, Limbang.

LIMBANG, 21 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Martek Limbang melalui Op Kontraban telah merampas 10,000 liter diesel yang disyaki cuba diseleweng semalam.

Komander PPM Wilayah 5 ACP Shamsol Kassim berkata anggota telah menahan sebuah lori tangki di Jalan Ulu Kubong, Kampung Penganan, di sini selepas dilihat mencurigakan iaitu sekitar jam 1.30 petang.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM21,500.

“Hasil soal siasat mendapati pemandu dan kalindan lori gagal mengemukan sebarang dokumen yang sah berkaitan muatan diesel tersebut.

“Pasukan operasi mengesyaki mereka melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa permit atau kebenaran daripada KPDNHEP.

“Susulan itu, mereka kemudian ditahan dan minyak diesel serta lori dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori adalah dianggarkan RM203,600.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily