Pemberian vaksin jangan ada berat sebelah – Undi Sarawak

Undi Sarawak logo. Photo credit: Undi Sarawak Facebook

KUCHING, 19 Jun: Undi Sarawak mengecam dakwaan bahawa penduduk asal negeri ini tidak diterima di salah satu pusat vaksinasi Covid-19 kerana tidak mempunyai kad pengenalan pada 18 Jun, 2021.

Kecewa dengan insiden, Undi Sarawak mahukan pengedaran vaksin harus diberikan tanpa berat sebelah.

“Kami mengecam sepenuhnya kejadian tersebut sekiranya terbukti benar.

“Dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 semasa, pengedaran vaksin harus diberikan tanpa berat sebelah.

“Serta dipandang serius dari sudut kemanusiaan yang mana pengedarannya tidak membezakan identiti, latar belakang dan kewarganegaraan seseorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ini adalah untuk menjamin amalan supaya tidak berlaku di mana-mana pusat vaksin agar imuniti kelompok dapat dicapai di Sarawak.

Undi Sarawak juga cakna terhadap isu tiada sijil lahir dan kewarganegaraan yang terus membimbangkan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, sini, masalah tersebut bukanlah batu penghalang bagi Sarawak untuk mencapai imuniti kelompok dan menafikan vaksin untuk penduduk asal Sarawak tanpa MyKad dari luar bandar.

“Virus Covid-19 tidak membezakan, dan tidak peduli jika mangsanya tidak memiliki Kad Pengenalan Malaysia.

“Masalah tidak memiliki MyKad sepatutnya tidak menghalang Kerajaan Negeri Sarawak daripada usaha memastikan semua penduduk asal Sarawak yang tidak memiliki MyKad menerima suntikan vaksin,” katanya.

Undi Sarawak juga berkata, sekiranya kerajaan negeri dapat menyesuaikan pendekatan “suntik dahulu, daftar vaksin kemudian”, jadi pendekatan “suntik dahulu, daftar MyKad dan vaksin kemudian” seharusnya tidak menjadi masalah dalam pelancaran vaksinasi.

Undi Sarawak menyarankan agar Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak meneliti isu ini.

“Dan memastikan hasil siasatan diumumkan, seterusnya menyediakan rancangan yang boleh dilaksanakan secara inklusif untuk memastikan semua komuniti di Sarawak.

“Terutamanya komuniti asal yang tidak berdokumen diberi akses untuk menerima suntikan vaksin.

“Kita perlu memastikan bahawa lebih dari 60,000 orang penduduk asal Sarawak di kawasan pedalaman, tanpa mengira status mereka diberi peluang dan akses untuk melindungi diri mereka daripada virus Covid-19,” kata Undi Sarawak. — DayakDaily