Polis Marin tahan lori tangki disyaki cuba seleweng 16,000 diesel di Miri

Lori tangki yang ditahan dalam operasi tersebut di Jalan Miri-Bintulu.

MIRI, 29 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Miri merampas 16,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM34,400 yang disyaki cuba diselewengkan awal pagi hari ini.

Komander PPM Wilayah 5 ACP Shamsol Kassim berkata anggotanya melalui Op Kontraban telah mengekori sebuah lori tangki yang dilihat mencurigakan dan kemudian bertindak menahanya di Jalan Miri-Bintulu pada jam 5.30 pagi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat muatan 16,000 liter minyak diesel.


“Pemandu lori telah mengemukan surat atau dokumen yang meragukan daripada KPDNHEP dan tiada invois pembelian disyaki untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Lori yang digunakan turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan sekitar RM131,400,” katanya.

Kes telah diserahkan kepada KPDNHEP Miri untuk siasatan lanjut. — DayakDaily