Rohani: Status Sarawak sebagai rakan kongsi perlu dikembalikan

Dato Sri Rohani Abdul Karim

KUCHING, 14 Dis: Status Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan, kata MP Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim.

Menurut beliau, penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’ yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.

“Kita mahu status asal diberikan kembali kepada Negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963,” kata Rohani pada perbahasan berkenaan dengan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.


Parlimen pada 1976 telah melakukan perubahan dengan menukar status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia.

Ia meletakkan kedua-dua negeri ini sebaris dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu asal.

Selain itu tambah beliau, cadangan pindaan kepada Perkara 160 (2) iaitu menggantikan tafsiran “the Federation” juga perlu dipertimbangkan.

Kata Rohani, ini agar ia merangkumi Perjanjian Malaysia yang ditandatangan pada 9 Julai 1963 (MA63) dan Perjanjian berhubung dengan pemisahan Singapura dari Malaysia yang ditandatangan pada 7 Ogos 1965.

“Oleh yang demikian, Pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan akan menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia.

“Ia selaras dengan semangat Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Perjanjian Malaysia 1963 dan kedudukan selepas Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965 serta penjelasannya dalam peruntukan tafsiran,” ujar beliau.

Tambah beliau, perjuangan Sarawak dalam MA63 adalah berdasarkan peraturan perundangan.

Justeru, beliau yakin perjuangan ini berada pada landasan yang betul dan sewajarnya mendapat pertimbangan dan sokongan daripada semua ahli-ahli Parlimen.

Sementara itu, Rohani berkata bahawa Hari Malaysia yang kita raikan pada setiap 16 September setiap tahun juga perlu dimasukkan sebagai tafsiran baharu dalam pindaan ini dengan mengiktiraf 16 September 1963 sebagai Hari Malaysia.

Ujar Rohani, ia merupakan catatan sejarah yang amat penting dalam negara untuk memperingati pembentukan Malaysia bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. — DayakDaily