Rohani melawat pusat operasi SAR pasangan suami isteri hilang

Rohani Karim ( tengah) ketika melawat pusat operasi mencari dan menyelamat pasangan suami isteri hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di sekitar perairan Kampung Semarang di sini.

BELADIN, April 19: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim hari ini melawat pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) pasangan suami isteri hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menangkap ikan di sekitar perairan Kampung Semarang di sini.

Ketibaan pada pukul 9.30 pagi disambut oleh Ketua Sekretariat Bencana dan Operasi, Mohd Ajrul Aswad dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam lawatan selama sejam itu, beliau turut diberi taklimat mengenai operasi dan perkembangan kes kehilangan tersebut. Pasangan hilang itu juga merupakan penduduk Kampung Semarang, Beladin di bawah Parlimen Batang Lupar.


Rohani berkata, beliau berasa sedih dengan kejadian yang menimpa pasangan tersebut dan akan menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada keluarga mangsa.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga pasangan suami isteri yang hilang semasa menangkap ikan. Sesungguhnya berita kehilangan mereka amat mengejutkan bukan sahaja kepada ahli keluarga malah kepada penduduk sekitar. Saya berharap anggota keluarga dapat menerima dugaan besar ini dengan sabar,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi semalam, sepasang suami isteri yang juga nelayan Yunus bin Morni, 60 tahun dan
Zahara Hamzah, 54 tahun hilang dipercayai lemas.

Nelayan sekitar telah menjumpai bot mereka dalam keadaan enjin yang hidup di sekitar muara Kabong dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa pada jam 1.30 petang semalam.

Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terlibat dilancarkan melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan bantuan orang kampung.

Mayat mangsa pertama Yunus ditemui pada pukul 9.42 pagi ini dan dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat dan setakat ini operasi mencari Zahara masih diteruskan. — DayakDaily