Nelayan ditemui mati lemas, isteri pula masih hilang

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa

BETONG, April 19: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang bersama isterinya selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan ditemui mati lemas di perairan Kampung Semarang, Pusa hari ini.

Mangsa, Yunus Morni, 58, ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 9.42 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Hafizul Samah berkata, isteri mangsa yang dikenali sebagai Zahara Hamzah, 47, pula masih belum ditemui.


Katanya, mayat mangsa dijumpai pasukan APM kira-kira 55 kilometer dari lokasi pasangan suami isteri terbabit dilaporkan hilang semalam.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Kampung Semarang untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Gerakan mencari dan menyelamat isteri mangsa masih diteruskan lagi setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan sepasang suami isteri dikatakan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut berhampiran Kampung Hulu Semarang di sini.

Sebelum kejadian itu, pasangan suami isteri terbabit dikatakan keluar ke laut untuk menangkap ikan kira-kira pukul 7 pagi. — DayakDaily