LAWAS, Mac 9: Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang disyaki merogol anaknya sejak anaknya berusia 15 tahun terbongkar apabila dia ditahan polis di Kampung Languban, Merapok di sini semalam.
Suspek berusia 47 tahun tersebut ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Dsp. Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan penahanan suspek berkenaan.
Katanya, suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Suspek diberkas susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa yang kini berusia 25 tahun di IPD Lawas, semalam.
“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah menjadi mangsa seks bapanya sejak dia berusia 15 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abang Zainal memberitahu, kali terakhir suspek melakukan perbuatan hina itu pada Feb 1 lalu.
Katanya, lelaki tersebut melakukan perbuatan terkutuk di sebuah pondok di kebun getah di kampung berkenaan.
“Suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi. ā DayakDaily