RM8 juta untuk kerja penyambungan bekalan elektrik untuk penduduk Kampung Baru

Rundi (tengah) disambut penduduk Kampung Baru yang menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Baru di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Mei 6: Kementerian Kemudahan Utiliti Sarawak meluluskan peruntukan segera sekitar RM8 juta bagi menjalankan kerja penyambungan bekalan elektrik kepada sebanyak 142 unit rumah penduduk Kampung Baru, di sini, hari ini.

Menteri Kemudahan Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengumumkan memberikan peruntukan terbabit selepas beliau sendiri telah melawat rumah penduduk kampung itu yang masih belum menerima bekalan elektrik.

“Peruntukan itu bagi seorang pemilik rumah sahaja adalah antara RM50,000 hingga RM60,000 dan bayangkan jumlah keseluruhannya kerana sebanyak 142 unit rumah penduduk kampung akan menerima peruntukan terbabit. Peruntukan ini diluluskan segera bukan kerana kempen pilihanraya ini tetapi kerana kami sudah lama menjanjikannya kepada penduduk Kampung Baru,” katanya selepas bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Baru.


Rundi berkata Rubiah ketika masih menjadi Ahli Parlimen Kota Samarahan sebelum ini setiap hari bertemu dengannya kerana meminta peruntukan bagi membekalkan elektrik dan air kepada pendudkuk kawasan Parlimen itu termasuk Kampung Baru yang ada seramai 5,000 penduduk.

Ini berikutan penduduk kampung terbabit ramai telah membina rumah yang baru dengan cantik tetapi malangnya rumah mereka tiada bekalan elektrik dan perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana Kampung Baru hanya sekitar 30 minit dari bandaraya Kuching.

Rundi (dua dari kanan) menyampaikan hamper kepada penduduk Kampung Baru yang menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Baru di Kota Samarahan. Rubiah berdiri dua dari kiri.

“Sehubungan itu, saya telah meminta kajian dilakukan bagi menentukan rumah baru penduduk lain berdekatan kampung ini yang masih belum menerima elektrik dan akan meminta Ahli Parlimen kawasan ini nanti memohon peruntukan tambahannya,” katanya.

Rundi berkata sebelum ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) ada peruntukan bagi membantu bekalkan elektrik ke rumah penduduk penduduk kampung di negeri ini tetapi ada rumah penduduk kampung telah tercicir dari mendapat peruntukan itu.

Ini menyebabkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mencadangkan kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan itu yang keseluruhannya sebanyak RM10 juta.

“Setakat ini kita sudah memberikan peruntukan itu kepada sebahagian penduduk rumah panjang dan kampung seluruh negeri ini termasuk di Kampung Baru. Kalau tidak mencukupi kita akan mohon peruntukan ditambah, asalkan kita menyiapkannya,” katanya.

Disamping itu, Rundi juga yakin Rubiah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menang semula dengan majoriti yang lebih besar pada pilihanraya umum kali ini berdasarkan sambutan meriah penduduk kampung menyambut ketibaan calon itu semalam. — DayakDaily