Masalah tekanan air rendah di Tanjong Bako dijangka selesai tidak lama lagi

Wan Junaidi (duduk tengah) beramah mesra dengan pelajar SK Tanjong Bako sempena perasmian bangunan IBS dan padang di sekolah berkenaan.

KUCHING, Mei 6: Kerajaan akan memasang paip baharu yang lebih besar untuk menyelesaikan masalah tekanan air rendah di Tanjong Bako.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata projek tersebut adalah dilaksanakan di bawah Sistem Grid Air negeri.

ā€œPada masa ini, kerajaan negeri sedang menaik taraf sistem paip baharu melalui Jambatan Binyu hingga ke Tanjong Bako dan apabila ini siap kelak, ia akan menyelesaikan masalah tekanan air rendah di kawasan ini,ā€ katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan Sistem Binaan Industri (IBS) dan padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako di sini.

Menurut Wan Junaidi, pada masa ini, sistem paip di Tanjong Bako adalah menggunakan batang paip yang berdiameter kecil.

Katanya, saluran tersebut sudah tidak dapat menyalurkan kuantiti air yang mencukupi untuk menampung keperluan air yang meningkat ekoran pertambahan penduduk di kawasan tersebut.

Malah, katanya masalah tersebut turut disebabkan oleh peningkatan kawasan perindustrian di kawasan berkenaan.

ā€œSaya berharap penduduk bersabar kerana kerajaan amat komited dan memandang serius masalah bekalan air yang dialami oleh rakyat di negeri ini.

ā€œSebab itu, kerajaan negeri melaksanakan projek Sistem Grid Air untuk memastikan setiap kawasan negeri ini khususnya di luar bandar dibekalkan dengan air terawat kerana masalah air ini bukan sahaja di Tanjong Bako tetapi juga di banyak kawasan luar bandar khususnya pedalaman,ā€ katanya.

Turut hadir ADUN Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni. ā€” DayakDaily