RM333.42 juta diluluskan bawah RM11 untuk Skim Pembesaran Kampung, Skim Penempatan Semula

Awang Tengah (baris depan, lima dari kanan) bergambar dengan pemilik-pemilik tanah selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah, Lesen Pendudukan Sementara dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Limbang di Dewan Masyarakat Sundar, di Lawas.

LAWAS, Mac 27: Sebanyak RM333.42 juta telah diluluskan bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk penyediaan infrastruktur bagi 40 buah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) di seluruh Sarawak, umum Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini.

Beliau berkata objektif SPS dilaksanakan adalah untuk menyediakan lot-lot kediaman dengan kemudahan asas untuk penempatan semula setinggan, menampung penambahan penduduk dan memenuhi keperluan kediaman rakyat berpendapatan rendah dan tidak mempunyai tanah sendiri.

”Manakala objektif pelaksanaan SPK ini adalah untuk mengurangkan kepadatan penduduk di kampung sedia ada dengan memperuntukkan lot-lot kediaman yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik,” kata Awang Tengah.


Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah, Lesen Pendudukan Sementara dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Limbang di Dewan Masyarakat Sundar, di sini pagi tadi.

Beliau menambah, pada Mei 6, 2018, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan polisi baru berkenaan dengan penyediaan infrastruktur SPK dan SPS kepada spesifikasi yang lebih baik iaitu jalan bertar, perparitan konkrit, penembokan lot, dan bekalan air dan elektrik. Langkah tersebut diambil untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim berkenaan.

”Pada hari ini, seramai 92 orang akan menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi SPK Kuala Lawas. Moga-moga tuan-tuan dan puan-puan memanfaatkannya dengan membina rumah kediaman,” jelas beliau.

Pada majlis tersebut, Awang Tengah selaku Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, juga menyampaikan cek pampasan berjumlah lebih kurang RM6.14 juta kepada 33 pemilik-pemilik tanah yang terlibat dalam projek Redevelopment Kpg Datu, Lawas.

“Majlis Penyerahan Cek Pampasan pada hari ini membuktikan bahawa setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh kerajaan, akan diberi pembayaran pampasan. Pembayaran pampasan tanah membuktikan bahawa kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu.

“Pelaksanaan serta pembayaran pampasan untuk projek ini membuktikan kerajaan mementingkan keperluan rakyat serta menyediakan pembangunan untuk rakyat. Setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh kerajaan akan dibayar dengan pampasan yang berpatutan,” jelas beliau.

Awang Tengah berkata kerajaan membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

“Kerajaan sentiasa mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah mereka. Malah, pengukuran tanah hak adat Bumiputera (NCR) telah pun dilaksanakan sejak tahun 1960-an lagi melalui program Operasi Penyelesaian dan Program Pengukuran Kampung Tradisional yang telah dilaksanakan sejak awal tahun 2000.

“Operasi Penyelesaian adalah proses mengukur dan menentukan hak ke atas tanah, untuk membolehkan tanah berkenaan didaftar dalam Daftar Tanah,” kata beliau.

Bagi Program Pengukuran Kampung Tradisional pula, beliau menjelaskan bahawa kampung-kampung tradisional merupakan kampung-kampung yang telah lama wujud, sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera mahupun yang belum diwartakan.

“Pengukuran ini akan memberi jaminan hak milik ke atas tanah yang diduduki. Program Pengukuran Kampung Tradisional adalah usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah para penduduk kampung bagi kampung-kampung yang telah lama wujud,” kata beliau.

Kata Awang Tengah, setakat Disember 31, 2018, sebanyak 353 kampung yang melibatkan 47,532 lot rumah kediaman telah pun disukat di seluruh Sarawak menerusi program ini.

“Sebanyak 53 surat hakmilik tanah dibawah Seksyen 18 KTN yang melibatkan Skim Tanjung Pagar melalui Program Pengukuran Kampung Tradisional akan diserahkan kepada penerima. Penyerahan surat hakmilik ini membuktikan Kerajaan mengiktiraf dan menjamin hakmilik sepenuhnya ke atas lot kediaman kampung yang telah lama wujud,” kata beliau.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu menggunakan pendekatan perimeter di peringkat pertama dan kawasan tersebut diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. Seterusnya pengukuran lot-lot individu di peringkat kedua untuk dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah seksyen 18 KTN.

Jelas Awang Tengah, melalui pengukuran tanah yang dilaksanakan, sempadan tanah menjadi jelas dan diketahui bagi mengelakkan sebarang pencerobohan dan pertikaian diantara individu.

“Pengukuran tanah ini dapat menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka menjadi setinggan di tanah sendiri,” jelas beliau. — DayakDaily