Kerani lesap RM5,000 ditipu kekasih IG

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mac 27: Seorang kerani terpaksa berputih mata selepas kerugian RM5,000 selepas terpedaya dengan sindiket ‘parcel scam’.

Berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 33 tahun dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari England menerusi laman Instagram (IG).


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, wanita berkenaan dikatakan telah berkenalan dengan suspek menerusi IG pada November lepas.

Jelasnya, sebagai tanda perkenalan mereka, suspek ingin menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa.

“Pada Mac 22 lepas, mangsa telah menerima satu pesanan ringkas (SMS) kononnya dari pihak kurier World Wide Courier menyatakan ada bungkusan daripada suspek.

“Dalam mesej tersebut, mangsa dikehendaki membayar RM8,000 sebagai proses perlepasan dan penghantaran kurier ke alamat mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa yang terperdaya telah memasukkan wang RM5,000 ke akaun bank suspek menerusi tiga kali transaksi.

Katanya, baki RM3,000 pula mangsa tidak mampu untuk membayar kerana sudah tidak mempunyai wang lagi.

“Mangsa yang sedar dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily