RM31 juta selenggara, naik taraf tandas sekolah di Sarawak

Kah Wong pada perbahasan di Dewan Rakyat.
Advertisement

KUCHING, 22 Okt: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM31 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan tandas sekolah di Sarawak yang tidak sempat disiapkan pada tahun lalu.

Menurut laporan TVS, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, peruntukan bagi penyelenggaraan itu melibatkan 310 sekolah rendah (SK) di bawah Jabatan Pendidikan Sarawak untuk tahun ini.

“Untuk makluman, KPM pada 2023 telah menyalurkan peruntukan khas naik taraf dan penyelenggaraan kecil institusi pendidikan tahun 2023 sebanyak RM654.29 juta.

Advertisement

“Ia bagi tujuan kerja penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di SK dan institusi pendidikan termasuk Kolej Matrikulasi, Institut Aminuddin Baki dan Institusi Pendidikan Guru.

“Jumlah ini melibatkan sebanyak 8,354 sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM dengan pecahan kepada 8,306 buah SK serta 48 buah institusi pendidikan bukan sekolah,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun tambah Kah Wong, pelaksanaan penyelenggaraan tandas bagi 310 sekolah di Sarawak telah ditangguhkan berikutan kekangan masa, lokaliti dan kekurangan pekerja binaan.

Katanya, ia adalah seperti yang dilaporkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Sarawak dan Pejabat Pembangunan Sarawak. — DayakDaily

Advertisement