RM226.89 juta untuk bantuan kebajikan bagi tahun 2018

Datuk Seri Fatimah Abdullah ( tengah) mengadakan sidang media mengenai Pelan Strategik JKM Negeri Sarawak 2018-2020.

KUCHING, Jan 8: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak dianggarkan akan membelanjakan keseluruhannya sebanyak RM226.89 juta bagi memberikan pelbagai bantuan kebajikan kepada penduduk negeri ini sepanjang tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata demikian dengan ini berdasarkan anggaran bajet jabatan terbabit tahun ini bagi membantu kumpulan sasarannya.

“Tahun lepas seramai 57,000 orang penduduk negeri ini menerima pelbagai bantuan kebajikan dari JKM Sarawak. Tahun ini dalam bajet jabatan ini, kami menganggarkan seramai 58,081 orang penduduk negeri ini akan menerima bantuan itu yang keseluruhannya berjumlah RM226.89 juta,” katanya pada sidang media mengenai Pelan Strategik JKM Negeri Sarawak 2018-2020, di JKM Negeri Sarawak, Jalan Sultan Tengah, di sini, hari ini.


Fatimah berkata anggaran bajet jabatan itu tahun ini terbahagi kepada Skim Bantuan Persekutuan yang diperuntukan kerajaan pusat, Skim Bantuan Kerajaan Sarawak yang diperuntukan kerajaan negeri, Bantuan Bencana dan Geran Pembangunan Ekonomi.

Dibawah Skim Bantuan Persekutuan ialah Bantuan Orang Tua (BOT) dianggarkan sebanyak RM93.895 juta kepada seramai 22,356 penerimanya berusia 60 tahun keatas diikuti Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dianggarkan sebanyak RM35.665 juta kepada seramai 11,813 penerima.

Bantuan kebajikan lain skim itu ialah Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB) dianggarkan sebanyak RM19.461 juta kepada 6,487 penerima, Elaun Pekerja Cacat (EPC) dianggarkan sebanyak RM15.907 juta (3,314 penerima), Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU)/Pesakit Kronik Terlantar (BTP) dianggarkan sebanyak RM8.127 juta (1,935 penerima) dan Bantuan Anak Pelihara dianggarkan sebanyak RM48,000 (16 penerima).

“JKM Sarawak juga menyediakan Skim Bantuan Kerajaan Sarawak iaitu Bantuan Am (BA) dianggarkan tahun ini sebanyak RM30.697 juta kepada seramai 11,150 penerima, Bantuan Belia Beliawanis (BBB) dianggarkan sebanyak RM36,000 kepada 10 penerima dan Bantuan Tambahan Kepada Persekutuan dianggarkan sebanyak RM11 juta,” katanya.

Beliau berkata JKM Sarawak juga menyediakan Bantuan Bencana yang dianggarkan sebanyak RM5.196 juta bagi kegunaan kecemasan sekiranya berlaku bencana di negeri ini merangkumi kebakaran, banjir, tanah runtuh dan ribut.

“Bantuan Bencana ini akan ditambah sekiranya tidak mencukupi tahun ini. Ini kerana kejadian bencana tidak dapat diramalkan dengan tepat malahan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat tahun lepas menyaksikan ada peningkatan kes kebakaran di negeri ini,” katanya.

Sementara itu Geran Pembangunan Ekonomi dianggarkan sebanyak RM6.857 juta kepada 1,000 penerima dan bantuan ini adalah bagi membantu kalangan usahawan mikro di negeri ini.

Sehubungan itu, Fatimah meminta penduduk negeri ini yang memerlukan bantuan kebajikan supaya memaklumkan JKM Sarawak dan mengakui pegawai jabatan selama ini menjalankan tugas dengan baik bagi menyediakan bantuan itu kepada mereka.

“Ini walaupun Sarawak hanya mempunyai seramai 818 kakitangan JKM Sarawak sahaja dan mereka sentiasa akan hadir di lokasi bencana bagi memberikan bantuan kebajikan tanpa mengira masa asalkan ada diberikan maklumat,” katanya dan mengakui penyediaan bantuan itu juga ada kelemahan sebelum ini dan tahun ini mula membuat perancangan strategik bagi menambakbaik kelemahan tersebut. — DayakDaily