Penguang: Masyarakat luar bandar terus dibela oleh kerajaan BN

Penguang (tiga dari kiri) merasmikan projek 'awning' untuk Rumah Panjang Abok Jabu, Kampung Mulong Ulu Teru Tinjar. Anyi kelihatan berada empat dari kiri.

BARAM, Jan 8: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di luar bandar khusus berkaitan isu penyediaan kemudahan asas.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, walaupun terdapat antara masalah itu lambat diatasi, namun kerajaan BN sentiasa mencari alternatif penyelesaian demi kepentingan rakyat.

Jelas beliau, misalnya di luar bandar, masalah seperti ketiadaan bekalan air bersih, jalan raya dan kekurangan sumber ekonomi adalah antara yang mendapat perhatian serius kerajaan.


“Ingin saya tegaskan, kerajaan BN tidak pernah mengamalkan dasar pilih kasih dalam menyalurkan kemudahan pembangunan kepada rakyat, sebaliknya memastikan semua pihak mendapat pembelaan sama rata.

“Justeru, rakyat perlu bersabar dalam menunggu pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya semasa program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Abok Jabu, Kampung Mulong Ulu Teru Tinjar, Baram baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Alexander Asing, SAO Beluru Marliney Igil, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum di daerah Beluru.

Dalam program sama, Penguang turut merasmikan projek ‘awning’ untuk Rumah Panjang Abok Jabu, Kampung Mulong Ulu Teru Tinjar.

Beliau juga telah menyerahkan cek ‘Minor Rural Project’ (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Abok (RM25,000) dan JKKK Rumah Bantan anak Libau (RM10,000) selain mengumumkan projek ‘Rural Transformation Programme’ (RTP) 2018 di Rumah Abok dan Rumah Kalong iaitu membaikpulih jalan di hadapan rumah panjang yang bernilai RM60,000 setiap projek.

Di samping itu, Anyi turut memperuntukkan RM10,000 kepada JKKK Rumah Abok dan telah menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM7,550 kepada PIBG.

Sementara itu, Penguang memberitahu, rakyat di kawasan luar bandar telah dapat menikmati kehidupan yang cukup sempurna sepanjang pemerintahan kerajaan BN.

Katanya, sehubungan itu, rakyat wajar memberikan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negeri ini dengan lebih baik lagi.

“Kerajaan BN sentiasa memberi komitmen tinggi secara berterusan dalam membantu penduduk miskin dan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

“Ini kerana, selain memberi fokus kepada kawasan bandar, kerajaan juga tidak melupakan golongan penduduk di kawasan luar bandar,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, komitmen berterusan kerajaan BN dalam memastikan semua golongan penduduk terutamanya mereka yang berpendapatan rendah yang menetap di bandar luar terus dijaga.

Ini termasuklah, jelas beliau, dengan menyediakan lebih banyak kemudahan dan prasarana di kawasan luar bandar.

“Kerajaan juga turut memastikan harga barang keperluan dikawal dengan lebih ketat agar masyarakat luar bandar tidak berhadapan kesukaran,” katanya.

Penguang bersalaman dengan penghuni Rumah Panjang Abok Jabu, Kampung Mulong Ulu Teru Tinjar.

Dalam pada itu, Penguang menegaskan kerajaan BN juga sentiasa berusaha memastikan kadar kemiskinan dikurangkan berbanding pakatan pembangkang yang hanya tahu bercakap.

Jelasnya, kemiskinan yang disaksikan di sesetengah tempat tidak boleh dijadikan ukuran kegagalan BN membela nasib rakyat.

“Kemiskinan berlaku di mana-mana, malah di negara maju pun ada orang miskin. Tetapi, yang membezakan kita dengan mereka ialah kita mempunyai banyak program bagi membantu rakyat miskin berbanding pembangkang yang hanya tahu bercakap dan mengata orang,” katanya.

Beliau menambah, usaha membasmi kemiskinan dan membantu rakyat miskin dilakukan secara berterusan dan bukannya hanya pada musim-musim tertentu. — DayakDaily