KUCHING, 9 Mei: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong bakal menikmati kemudahan asrama dan rumah guru yang baharu, kata Adun Bukit Begunan Datuk Mong Dagang.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Mong berkata, sekolah baharu tersebut akan memulakan pembinaan tahun ini dengan kos RM20 juta.
“Kerja pembinaan ini akan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan dengan pembinaan gantian penuh enam bilik darjah, asrama, rumah guru dan sebuah bilik darjah prasekolah,” jelasnya pada Majlis Bacaan Doa Selamat dan Upacara Miring Tapak Sekolah Baharu hari ini.
Dalam majlis yang sama, Mong telah menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bakong, RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jhoned dan RM5,000 lagi kepada JKKK Rumah Sawai.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodie juga telah memperuntukkan sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Bakong.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Bakong Isa Reff. — DayakDaily