Rumah Panjang Enjop Sungai Babi Marudi dibina baharu

Gerawat (tiga kanan) merasmikan tapak rumah panjang Sungai Enjop. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 9 Mei: Pembinaan Rumah Panjang Enjop Sungai Babi Marudi yang lebih moden dan kukuh bakal memberi keselesaan kepada penduduk rumah panjang berkenaan, kata Timbalan Menteri Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Datuk Gerawat Gala.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Gerawat yang juga Adun Mulu berkata, tapak rumah panjang itu ditimbus semula untuk dibina rumah panjang baru 27 pintu.

“Rumah panjang baharu berkonsepkan rekaan moden menggunakan bahan-bahan dari batu dan simen,” katanya di majlis perasmian tapak rumah panjang tersebut hari ini.


Gerawat menggesa Tuai Rumah mengadakan mesyuarat dengan penduduk untuk berunding berkenaan persediaan tapak, pelan rumah panjang, alur jalan dalam kampung, saluran kabel untuk wayar elektrik, saluran paip air, sistem perparitan untuk pengairan air, tempat letak kereta dan dewan serbaguna.

Untuk itu, beliau menyediakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Enjop untuk membeli papan lapis dan zink untuk rumah penempatan sementara.

Manakala sebanyak RM80,000 lagi peruntukan akan menyusul kemudian untuk menyediakan tapak rumah panjang baru.

“Apabila kerja-kerja membangunkan rumah panjang baru bermula, saya akan bagi peruntukan MRP RM3,000 kepada setiap 27 pintu untuk bahan-bahan rumah bila pembinaan rumah panjang sudah bermula,” ujarnya.

Tambah beliau, JKKK Rumah Enjop boleh membuat permohonan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk pinjaman RM30,000 bagi setiap pintu.

Katanya, bayaran balik dibuat sebanyak RM100 setiap bulan melalui pengisian borang permohonan pinjaman HDC yang boleh didapati di Pusat Khidmat Marudi. — DayakDaily