Ribut Tropika Pabuk: Perairan Sarawak masih selamat

Ramalan halatuju Ribut Tropika Pabuk yang disiarkan Jabatan Meteorologi Malaysia di laman sesawangnya.

KUCHING, 4 Jan: Sarawak setakat ini masih selamat dari dilanda Ribut Tropika Pabuk berdasarkan amaran terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia jam 8.45 pagi tadi.

Menurut amaran terbabit, ribut tropika Pabuk ketika ini berada di kedudukan 7.9 U dan 101.5 T di Teluk Siam dan dijangka akan bergerak 20 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat laut menghampiri Segenting Kra.

Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di perairan Kelantan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Jarak ribut ini dari bandar Arau, Perlis, adalah 213km dan Kota Bharu, Kelantan, 218km.

“Angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan pelantar minyak,” jabatan tersebut berkata dalam satu kenyataan. — DayakDaily