APMM sita 4 bot nelayan Vietnam, 13 tan ikan dengan nilai sitaan lebih RM6 juta

Antara vesel nelayan Vietnam yang ditahan APMM Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 9: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menyita empat buah bot nelayan Vietnam dan pelbagai jenis ikan seberat 13 tan yang dianggarkan melebihi RM6 juta menerusi satu tangkapan di perairan Tanjung Sirik.

Dalam tangkapan kira-kira antara pukul 7.43 pagi hingga 10.27 pagi Ahad lepas (7 Julai), pasukan APMM turut berjaya menahan 58 kru vesel warga Vietanam yang berusia antara 17 hingga 55 tahun.

Laksamana Pertama Maritim Sarawak, Robert Teh Geok Chuan, berkata tangkapan serta kejayaan berkenaan merupakan hasil aduan diterima mengenai pencerobohan bot nelayan asing berkenaan di perairan negara.

Jelasnya, semasa pemeriksaan, kesemua nelayan warga Vietnan itu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Lokasi vesel nelayan Vietnam ditahan APMM Sarawak.

“Semua kru termasuk tekong empat vesel tersebut kemudian ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Robert menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Tegasnya, iika disabitkan kesalahan, semua nelayan warga Vietnam boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun.

“Manakala anak kapal boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel mereka,” katanya. — DayakDaily