Tiga nyaris maut, van langgar belakang lori

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Oleh Dean Adam

MUKAH, Jan 4: Tiga individu termasuk seorang pemandu van nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori lalu terbabas di bahu Jalan Mukah-Selangau di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan tiada laporan kemalangan jiwa.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 8.08 pagi.

Jelasnya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Kelihatan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan.

“Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah van dan lori membawa muatan arang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu van berusia 35 tahun masih dalam tersepit, manakala dua penumpang lagi telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong berkata pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang berjaya dikeluarkan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.08 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian dalam keadaan terkawal,” jelasnya. — DayakDaily