MetMalaysia: Amaran angin kencang, laut bergelora sehingga Ahad

Bencana banjir (gambar fail).

KUCHING,18 Dis: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang merbahaya kepada bot kecil di perairan Sarawak hari ini.

Ini dijangka akan berterusan sehingga Ahad, 20 Disember dan amaran itu juga meliputi kawasan perairan Johor Timur, Pahang , Terengganu, Kelantan, Sabah Barat, Labuan dan Sabah Timur.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan, Sabah Timur sehingga Ahad, 20 Disember 2020,” menurut amaran terbabit dikeluarkan di laman sesawang jabatan terbabit met.gov.my jam 10.45 pagi tadi.

Menurut jabatan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Disamping itu jabatan terbabit juga mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang,  Perak, Selangor, Johor,  Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Timur sehingga 3 petang hari ini, 18 Disember, 2020.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.